Rasa untuk bernikah adalah fitrah yang ALLAH datangkan dalam diri setiap hambaNYA. Manusia merindukan kasih sayang hidup berpasangan. Namun situasi hari ini, suami dan isteri kadang-kadang menghadapi perhubungan jarak jauh kerana tuntutan kerjaya. Berjumpa sebulan sekali atau dua kali. Atau jarang sekali.Lalu apakah nilai pernikahan jika dihambat perpisahan dan kejauhan?
Berikut luahan si isteri :
Saya berkahwin dua tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan. Masalah rumah tangga kami timbul akibat perkahwinan jarak jauh. Saya di ibu kota manakala suami di utara tanah air.
Suami pernah memohon berpindah ke ibu kota namun tiada jawapan daripada pengurusan. Masalah bertambah daripada pihak keluarga mentua yang tidak dapat menerima perkahwinan kami. Saya cuba merapatkan hubungan namun sambutannya dingin.
Lebih menyedihkan, keluarga mentua tidak pernah datang ke rumah kami, malah tidak menziarahi cucu baru dilahirkan. Perkara ini turut menjadi isu dalam rumah tangga dan menyebabkan kami kerap bergaduh, tambahan pula kami berjauhan.
Apa harus saya lakukan untuk menjaga keharmonian rumah tangga?
SITI ( Kuala Lumpur )
Kehidupan adalah perjalanan menghadapi ujian. Sebenarnya terlalu banyak ujian yang puan lalui namun berjaya mengatasinya dengan tenang.Buktinya, puan mempunyai suami dan anak. Ramai manusia yang berdoa supaya memiliki suami dan anak masih tidak diperkenankan doa mereka.Suami isteri seharusnya tidak berpisah terlalu lama sehingga menimbulkan fitnah dan keretakan dalam rumah tangga. Apabila berjauhan, syaitan pula mencari peluang bagi menyesatkan manusia.
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia sebagaimana perjalanan darah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Sepatutnya isteri perlu berada di mana suaminya berada, bukan sebaliknya.
Ada kemungkinan kekangan kerja yang menghalang. Jika tidak bekerja, seelok-eloknya puan berpindah mengikut suami.Oleh itu, puan harus berkorban untuk sentiasa mendampingi suami dan dapat berkhidmat kepada suami dengan baik, di samping mengukuhkan semula hubungan dan membaiki semula kesilapan lalu secara bersama, tanpa campur tangan pihak lain.
Buang sifat ego untuk mendapatkan nasihat daripada mereka yang berpengalaman. Luangkan masa untuk menghadiri majlis ilmu dan berdoa serta zikrullah. Semoga Allah SWT memberi jalan penyelesaian yang tersedia di depan yang menuntut kita semua agar terus bersabar.. Insyallah
0 comments:
Post a Comment